Thursday, 7 March 2013

~PEMBERONTAKAN DI LAHAD DATU~

~KRONOLOGI PEPERANGAN DI LAHAD DATU~

9 Feb - Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

11 Feb - Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.


12 Feb - Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

14 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.


14 Feb - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina. Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal. Ismail berkata rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan darah.


14 Feb - Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.

6 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal. Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.

18 Feb - Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.


24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.


28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu. Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.


1 Mac - Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.




- Akhir tahun lalu gerakan Kesultanan Sulu Darul Islam yang dipimpin oleh Sultan Bantilan Muhammad Muizzuddin II di Jolo Sulu telah diberikan laporan dari Tawi-Tawi bahawa ada satu gerakan bersenjata sedang berlatih dengan keahlian lebih kurang 400 orang lelaki. Mereka ialah gerakan keluarga Punjungan Kiram dari Pulau Simunul menurut laporan tersebut.
SULTAN BANTILAN II
- Sultan Bantilan II kemudian mengeluarkan kenyataan kepada wakilnya di Tawi-Tawi agar tidak melibatkan diri dengan mana-mana pihak bersenjata. Maka sekiranya ada ahli SSDI (Sultaniyah Sulu Darul Islam) yang terlibat maka SSDI berlepas diri dari sebarang tanggungjawab, yakni SSDI tiada kaitan dengan mereka.

- Sultan Bantilan II juga menghantar mesej ke Sabah khusus kepada ahli SSDI yang sedang bekerja di sana agar memastikan ahlinya tidak terlibat dengan sebarang gerakan bersenjata. Sekiranya ada minta dilaporkan ke Istana seberapa segera. Kerana menurut pandangan Sultan Bantilan, kemungkinan gerakan bersenjata KIRAM tersebut adalah untuk sabotaj gerakan Kesultanan Sulu (SSDI).

- Tiga hari sebelum pihak bersenjata KIRAM masuk ke Lahad Datu, Sabah, Istana Sultan Bantilan II di Jolo mendapat maklumat bahawa ada dua bot besar sedang bersiap menuju ke Sabah sarat dengan senjata berat dan dikatakan punya misi untuk berperang.

- Menurut laporan dari Tawi-Tawi mereka ini ditertawakan oleh para penyokong Sultan Sulu lain kerana menurut mereka mana mungkin dengan hanya dua bot sebesar itu dan tentera yang bilangannya boleh dibilang dengan jari kaki dapat menewaskan tentera Malaysia yang serba lengkap itu. Mereka dianggap bunuh diri. Bagi Sultan Bantilan di Jolo pula, gerakan bersenjataKIRAM ini ada pihak yang lebih besar main dibelakang mereka.

- Kemudian beberapa hari kemudian mereka telah sampai ke Lahad Datu yang menurut laporan mereka sampai dulu di Felda Sahabat 17. Dari dua bot itu yang satu telah berjaya dipintas malah dikatakan telah karam. Manakala yang satu lagi berjaya mendarat dan terus berkubu.

- Menurut laporan dalam kumpulan Kiram itu terdapat seorang lelaki berkulit putih memakai baju celoreng. Pelbagai spekulasi timbul selepas itu berkenaan kehadiran lelaki kulit putih tersebut dalam kumpulan penceroboh itu. Namun menurut Sultan Bantilan II di Jolo, SSDI tidak boleh mengeluarkan kenyataan spekulasi berkenaan kehadiran kulit putih tersebut kemungkinan hanyalah rekaan untuk mengaiktan pencerobohan itu dengan tentera Balikatan USA yang sekarang sedang berkubu di Tawi-Tawi dan Jolo.

Lahad Datu tiba-tiba kecoh bak diserang garuda. Huru-hara dari pasar ke kampung-kampung. Ada yang yang seperti meracau tak tentu pasal kerana berasakan Lahad Datu bakal menjadi medan pertempuran ala filem Holywood. Dikhabarkan dari saksi mata, bahawa mereka yang berkubu di Lahad Datu itu memang nekad dan sarat dengan senjata berat. Mengambil posisi strategik dan nampaknya mereka seperti sudah biasa berperang. Almaklum latihan tentera mereka berbulan bulan sejak tahun lalu.

- Ada laporan sebahagian mereka itu adalah bekas tentera MNLF yang sudah lama mufarakah dari MNLF. Mereka adalah dari suku Tausug yang GAGGIL (degil) dan selalu melanggar arahan ketua. Menurut saksi mata yang telah ambil video sebagaimana yang dilaporkan dalam Facebook wajah-wajah mereka seperti sudah hilang seri walau pun kelihatan menakutkan. Hilang seri seperti tanda bahawa mereka bakal mati katak di tangan tentera Malaysia. Rambut sebahagian mereka panjang sebagai melambangkan kepahlawanan Tausug yang walau pun nampak kalah secara lojik namun dianggarkan dapat bertahan berbulan bulan malah mungkin bertahun. Mereka dapat bertahan begitu kerana mungkin berjaya berenang larikan diri semula ke pulau Tawi-Tawi. Selamat.

- Malaysia nampaknya panik seketika. Pelbagai tuduhan dan spekulasi bergema di mana-mana. Ada yang buat sepekulasi bahawa tentera penceroboh itu diatur oleh Kerajaan BN-UMNO sendiri untuk mnejadikannya hero lantaran itu pengundi KDM pun akan kembali menyokong BN. Ada pula spekulasi yang menyatakan bahawa itu adalah perancangan PKR untuk memburukkan kerajaan BN. Ada yang kata ia perancangan USA-Filipina untuk dapatkan semula Sabah demi Minyak di Laut Sulu dan Spratly. Ada yang katakan bahawa kemungkinan ia adalah kerja MNLF dan ABU SAYYAF kerana marah pada Malaysia yang menyokong MILF dalam perjanjian damai tahun lalu. Ada juga yang kata ia dilakukan oleh kumpulan politikus dari Filipina untuk dapatkan pampasan demi menampung kos kempen pilihanraya ARMM tidak lama lagi di Sulu-Mindanau.

- Akhirnya bocor rahsia setelah tunggang-langgang mencari jawapan, bahawa mereka itu adalah tentera KIRAM yang kemudian didapati mereka seperti ditipu dengan janji-janji pelik. Kemungkinan besar ada yang dijanjikan tanah seluas beribu ekar, ladang kelapa sawit berhektar, dan mungkin ada yang dijanjikan dengan hanya diberikan seluar LEVI'S 501. Yang lebih pelik kedengaran janji bahawa mereka kalau dah sampai ke Sabah, wakil Inggeris sedang sedia dengan berguni USD untuk diberikan kepada mereka. Nampak seperti bergurau dan melucukan. Mungkin saja benar mungkin saja tidak walau pun mungkin terbukti mereka dihantar untuk dijadikan umpan untuk dibunuh oleh MALAYSIA.

- Nyata sekali mereka adalah perangkap kepada MALAYSIA menurut analisis alternatif di tepi jalan. Mereka yang masuk kelihatan sedikit dan senang dimakan, namun ia bahaya sebagaimana bahayanya ikan buntal yang kecil tapi jerung pun takut termakannya. Sebesar mana pun ikan jerung dengan gigi semula jadi tajam namun takut termakan ikan buntal.

- Mereka berkata, kalau Malaysia lepaskan tembakan dan berjaya membunuh mereka maka PASUKAN YANG LEBIH BESAR akan datang. Ikan-ikan buntal yang datang kemudian ini akan dilemparkan ke seluruh pantai timur Sabah. Namun, kalau Malaysia berjaya menghalau mereka secara aman tanpa berlaku apa-apa. Nyata sekali misi ikan-ikan buntal akan gagal.



- Sultan Bantilan II di Jolo sebagai ketua gerakan SSDI yang bergerak secara aman tanpa senjata, menyeru saudara-saudara seagama di Malaysia agar cepat memformasikan satu jawatankuasa bertindak dengan menghimnpun sejarahwan Malaysia dan Sulu. Duduk semeja memandang positif kepada gerakan Kesultanan Sulu secara aman ini. Malaysia harus bertindak dahulu sebelum ia berlarutan menjadi benda lain. Gerakan Kesultanan Sulu semakin mendapat tempat. Kiram walau pun tindakannya kali ini sangat menjadikannya tidak popular malah menjadikannya sebagai keluarga kesultanan Sulu yang selamanya melakukan kesilapan. Namun sekurang-kurangnya tindakan subersif KIRAM ini dapat membuka mata Malaysia betapa masanya sudah tiba untuk MEMBICARAKAN KESULTANAN SULU.

-Keluarga Kiram sangat terancam dengan gerakan Kesultanan Sulu Darul Islam (SSDI) yang dijalankan oleh Sultan Bantilan II di kepulauan Sulu saat ini. Perarakan demi perarakan secara aman oleh rakyat SSDI selama 6 tahun sehingga kini menjadikan keluarga KIRAM perlu "DO SOMETHING". Kerana menurut KIRAM, SABAH dan SULU itu adalah milik keluarganya, bukan milik kerajaan SULU yang mana ia bukan milik pribadi mana-mana Datu pun melainkan ia hak rakyat Sulu secara keseluruhan. KIRAM tidak pernah belajar dari kesilapannya yang lalu. Mereka sangat ketinggalan dari pengetahuan sejarah sekali pun generasi muda Tausug sudah berjaya menulis pelbagai buku sejarah Sulu. 


ANTARA POLIS YANG TERKORBAN DI LAHAD DATU


SUMBER : http://theflyingkick.blogspot.com/2013/03/kronologi-pencerobohan-bersenjata-lanun.html
                 : http://www.wasukalu.com/2013/02/kronologi-pencerobohan-lahad-datu.html


                                                                                                           ~WALLAHUA'LAM~






Thursday, 28 February 2013

~Ta'zir~



PENDAHULUAN

Ta'zir dari segi bahasa bererti menolak atau menghalang. Dari segi istilah pula ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam al-Quran dan hadis atau hukuman yang dikenakan keatas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaannya tetapi tidak cukup syarat bagi keseksaan itu.

Hukuman ta'zir dijalankan mengikut budi bicara pemerintah sama ada dalam bentuk sebatan, tahanan (penjara) dan lain-lain yang boleh mencegah dan menakutkan seseorang daripada melakukan kesalahan. Pemerintah tidak dibenarkan memutuskan hukuman ta'zir berdasarkan hawa nafsu, tetapi perlu melihat kepada semua hal dan keadaan yang berkaitan dengan diri pesalah, kadar bahaya terhadap kepentingan awam dan sebagainya.

Tujuan utama pelaksanaan hukuman ta'zir dalam syariat Islam ialah pencegahan dan pengajaran disamping pemulihan dan pendidikan. Namun begitu terdapat juga pelbagai tujuan lain, tetapi tujuan yang bertentangan dengan tujuan sebenar ta'zir diharamkan oleh syariat Islam. sebagai contoh, Islam melarang ta'zir yang bertujuan menyeksa dan membawa kerosakan kepada jiwa dan tubuh penjenayah. Para fuqaha' mentakrifkan ta'zir sebagai hukuman yang tidak ditentukan kadarnya oleh syarak yang merupakan hak Allah atau hak manusia, atas setiap maksiat yang tidak dihukum dengan hukuman hudud atau kaffarah.



DEFINISI TA'ZIR

Definisi ta'zir dari segi bahasa ialah penolakan, pencegahan atau pertolongan. Firman Allah S.W.T :

وتعزروه وتوقروه

Maksudnya : "Dan menguatkan (agama-Nya) dan membesarkan-Nya"
                                                                                                                      (surah al-Fath : ayat 48) 

Manakala daripada segi istilah pula ialah hukuman terhadap perbuatan maksiat atau jenayah yang tidak ditentukan kadarnya oleh syarak sama ada ia merupakan hak Allah atau hak manusia.

Dengan erti kata lain, ta'zir adalah hukuman yang bersifat memberi pengajaran dan peringatan yang ditentukan oleh hakim ke atas pelaku kejahatan atau pelaku maksiat yang hukumannya belum ditentukan oleh syariat atau kepastian hukuman tidak dijumpai memandangkan syarat pelaksanaan hukuman masih tidak dipenuhi dalam perbuatan jenayah tersebut, seperti melakukan hubungan seks bukan pada faraj perempuan, mencuri kurang daripada satu nisab, melakukan jenayah yang tidak ada hukuman qisas, lesbian,dan menuduh orang lain melakukan perbuatan maksiat selain berbuat zina.


DALIL PENSYARIATAN TA’ZIR

Dalil-dalil yang menunjukkan ta’zir itu disyariatkan ada dijelaskan didalam al-Quran dan as-Sunnah. Sebagaimana Firman Allah S.W.T mengenai ta’zir :

إنما جز ؤا الذين يحاربون الله ورسوله, ويسعون فى الأرض فسادا أن يقتلوا أو يصلبوا أو تقطع أيديهم و أرجلهم من خلف أو ينفوا من الأرض ذلك لهم خزى فى الدنيا ولهم فى الأخرة عذاب عظيم

Maksudnya : “Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka buki, hanyalah mereka dibunuh dan disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik (tangan kanan kaku kiri atau kaki kanan tangan kiri), yang demikian itu (sebagai) satu penghinaan untuk mereka di dunia, dan akhirat mereka beroleh seksaan yang besar”.
                                                                                                                     (surah al-maidah : ayat 33)
Sebagaimana berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Baihaqi dari Bahz bin Hakim dari ayahnya, dari datuknya, bahawa :


أنَّ النَّبِيَّ صلى الله وسلم حَبَسَ فِي التُّهمةِ

Maksudnya : “Bahawa Nabi s.a.w  pernah menjatuhkan hukuman penjara terhadap pelaku tuduhan palsu

Namun hukuman penjara seperti yang dilakukan oleh Nabi s.a.w di sini bersifat sementara sehingga permasalahan menjadi jelas. Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud meriwayatkan dari Hani’ bin Nayyar, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w  bersabda :
  
لا تجلدوا فوق عشرة أسواط, إلا في حد من حدود الله تعالى

Maksudnya : “Janganlah kamu menyebat lebih dari sepuluh kali sebatan melainkan dalam melaksanakan hukuman hudud yang telah ditentukan Allah Taala
                                                                     

TA'ZIR SEBAGAI HAK ALLAH DAN MANUSIA.

Para fuqaha telah membahagikan ta'zir kepada dua bahagian :

1. Ta'zir sebagai hak Allah (hak masyarakat)

Yang dimaksudkan dengan hak Allah di sini ialah sesuatu yang menyentuh kepentingan umum dan yang dapat mencegah keburukan daripada masyarakat. Seorang yang melakukan kesalahan yang tidak menyentuh kepentingan masyarakat secara khusus dan tidak ada hukuman tertentu yang ditetapkan oleh syara', ia dijatuhkan dengan hukuman ta'zir. Di sini ta'zir dilihat sebagai hak Allah yang boleh menghalang manusia dari melakukan kejahatan dan keburukan kepada maslahat dan kepentingan individu tertentu.

2. Ta'zir sebagai hak manusia (hak individu).

Manakala yang dimaksudkan dengan hak manusia ialah sesuatu yang menyentuh maslahat dan kepentingan individu tertentu. 


BAHAGIAN-BAHAGIAN TA'ZIR

Ta'zir terbahagi kepada tiga bahagian :

1. Ta'zir atas perbuatan maksiat.

Maksiat ertinya melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh syariat Islam atau meninggalkan perkara-perkara yang diwajibkan olehnya.

Jenis-jenis maksiat.

Para fuqaha telah membahagikan maksiat kepada tiga jenis :

a. Maksiat yang mewajibkan hukum hudud. Contohnya seperti membunuh, mencuri, berzina, dan berbagai-bagai kesalahan hudud serta qisas dan diyat. Maksiat seperti ini tidak memerlukan hukuman ta'zir, kerana baginya ada hukuman yang tersendiri iaitu hudud. Walaupun begitu tiada halanan sekiranya keadaan memerlukan untuk mengenakan hukuman ta'zir atas maksiat jenis ini.

b. Maksiat yang hukumannya berbentuk kaffarah. Seperti suami isteri melakukan persetubuhan pada siang hari bulan Ramadhan atau melakukan persetubuhan sewaktu berihram. Maksiat-maksiat jenis ini amat terhad sekali. Ia terbatas kepada kesalahan-kesalahan seperti merosakkan puasa, merosakkan ihram, membatalkan sumpah yang dilafazkan, persetubuhan dalam masa haid atau melakukan zihar.

c. Maksiat yang tiada hukum hudud atau tiada kaffarah. Contohnya seperti berkhalwat antara perempuan dengan lelaki ajnabi, memakan bangkai, cuba untuk mencuri dan apa sahaja maksiat yang tidak termasuk dalam jenis maksiat yang pertama dan yang kedua.

2. Ta'zir untuk kepentingan umum.

Satu kaedah dalam syariat Islam ada menyebut bahawa hukuman ta'zir tidak boleh dikenakan kecuali atas perbuatan yang dianggap maksiat. Akan tetapi, sebagai pengecualian dari kaedah umum ini syariat Islam telah mengharuskan hukuman ta'zir atas perbuatan bukan maksiat sekiranya kepentingan umum memerlukan demikian.

Hukuman ta'zir untuk kepentingan umum boleh dikenakan ke atas mana-mana pesalah denga dua syarat :

a. Melakukan perbuatan yang menyentuh kepentingan atau kemaslahatan umum.
b. Hukuman dikenakan untuk kepentingan umum. Contohnya seperti menghukum kanak-kanak yang tidak menunaikan sembahyang. Walaupun meninggalkan sembahyang bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz bukanlah satu kesalahan syara', tetapi ia boleh dikenakan hukuman ta'zir bagi menjaga kepentingan umum Islam.

3. Ta'zir atas kesalahan-kesalahan kecil.

Seperti yang telha dipersetujui oleh para fuqaha, pada asasnya hukuman ta'zir akan dikenakan kerana melakukan perkara-perkara yang haram dan meninggalkan perkara-perkara yang wajib. Walaupun begitu, terdapat perselisihan pendapat di antara para fuqaha di dalam mengenakan hukuman ta'zir kerana melakukan perkara-perkara yang makruh dan meninggalkan perkara-perkara yang sunat atau yang disebut sebagai kesalahan-kesalahan kecil. Ada di kalangan mereka yang berpendapat, tidak harus dikenakan hukuman ta'zir kerana melakukan perkara-perkara makruh dan meninggalkan perkara-perkara sunat, dan ada pula yang berpendapat sebaliknya.


JENIS-JENIS HUKUMAN TA'ZIR.

Antara jenis-jenis hukuman ta'zir ialah hukuman mengenai tubuh badan seperti sebatan, hukuman berkaitan sekatan kebebasan seperti penjara, buang daerah dan lain-lain lagi, hukuman berkaitan harta seperti denda serta pelbagai hukuman lain berdasarkan budi bicara pemerintah. Jenis-jenis hukuman ta'zir adalah seperti berikut :

1. SEBAT

Kadar ta'zir yang dikenakan ke atas penjenayah menurut ijtihad pemerintah sama ada kesalahan berat atau ringan. Dan sekurang-kurangnya hukuman sebat sebagai ta'zir ialah sebanyak tiga kali sebat, dan boleh dikurangkan dari tiga kali, ini menurut individu yang melakukan kesalahan-kesalahan jenayah yang dilakukan, kerana hukuman ta'zir itu tidak ada had tertentu tetapi had maksimanya setinggi-tinggi had ta'zir. Ulama berselisih pendapat mengenainya. Jumhur ulama Abu Hanifah, Muhammad Asy-Syafie dan Hanbali berkata, kadar hukuman sebat sebagai ta'zir tidak boleh melebihi sekurang-kurang had yang disyariatkan. Oleh itu, hendaklah dikurangkan satu kali sebat. Jadi hukuman sebat sebagai ta'zir pada pendapat mereka ialah 39 kali sebatan, kerana sekurang-kurang had kesalahan meminum arak atau had qazaf bagi hamba itu ialah 40 kali sebatan.

Manakala Abu Yusuf pula berpendapat : sebanyak-banyak hukuman sebat sebagai ta’zir ialah 75 kali sebatan kerana ia berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w :

منْ بلغ حدًّا فى غيرِ حدٍّ فهُوَ منَ المُعْتدِينَ

Maksudnya : “Barangsiapa melebihkan had pada kesalahan jenayah yang tidak ada had maka ia adalah dari golongan orang-orang yang zalim (melampaui batas).”

                                 (Riwayat al-Baihaqi, Ibnu Najah, Muhammad bin al-Hassan dan al-Tubrani.)

Kerana hukuman itu mengikut kesalahan jenayah atau maksiat yang dilakukan oleh penjenayah itu. Ini di ambil kira dengan had qazaf bagi orang merdeka ialah 80 kali sebat dan dikurangkan 5 jadi lah 75.


Sementara al-Malikiyah berpendapat : bahawa penentuan maksima hukuman sebat bagi ta’zir terserah kepada ijtihad pemerintah, sehingga mencapai tahap melebihi had yang ditetapkan pada kesalahan jenayah yang ditentukan oleh Allah, oleh itu harus bagi pemerintah mengenakan hukuman sebat sebagai ta’zir sama, kurang atau lebih dari hukuman-hukuman hudud yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Ini berdasarkan kepada apa yang berlaku terhadap Muin bin Zaidah yang mengadakan cop mohor yang sama dengan cop mohor Baitulmal, kemudian penjaga baitulmal itu datang mengambil harta benda itu, tiba-tiba berita itu sampai ke pengetahuan khalifah Umar Al-Khattab lalu dia mengenakan takzir dengan 100 kali sebat serta dimasukkan ke dalam tahanan.


2. PENJARA

Terdapat dua jenis hukuman penjara dalam undang-undang Islam, sama ada tempoh yang tetap atau tidak tetap. Adapun hukuman penjara bagi tempoh yang tetap boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan kecil. Bagi hukuman penjara tidak terhad pula,ianya dikenakan ke atas penjenayah yang sering melakukan kesalahan yang mana mengikut pandangan pihak hakim, tidak boleh dipulihkan akhlak mereka dengan mengenakan hkuman biasa. Semua mazhab undang-undang Islam mengesahkan hukuman ini boleh dilanjutkan sama ada sehingga penjenayah itu bertaubat atau sehingga dia mati bagi penjenayah yang merbahaya.


Al-Qarafi al-Maliki berkata : boleh dikenakan hukuman tahanan (di dalam penjara) pada lapan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah,  kesalahannya seperti berikut :



a. Penjenayah boleh dipenjarakan sekiranya penjenayah tiada harta benda untuk membayar denda jenayah yang dilakukan.

b. Penjarakan hamba yang lari selama setahun, untuk memelihara harta benda agar tuannya datang menuntut.

c. Penjarakan orang yang tidak mahu mempertahankan orang yang berlindung di bawahnya.

d. Dipenjarakan orang yang bermasalah.
e. Dipenjarakan orang yang melakukan jenayah sebagai ta’zir dan mencegah dari melakukan maksiat terhadap Allah S.W.T.
f. Penjarakan orang yang tidak mahu melaksanakan tanggungjawab. Contohnya seperti, seorang yang memeluk Islam dengan memperisterikan dua saudaranya ataupun dia mempunyai 10 orang isteri, di mana ia tidak mahu memilih salah satu daripadanya.
g. Penjarakan orang yang membuat pengakuan bahawa barang itu tidak ada padanya, walhal barang itu ada padanya. Maka ia dipenjarakan sehingga ia mengaku.
h. Penjarakan orang yang tidak mahu menunaikan tanggungjawab terhadap Allah S.W.T. Contohnya seperti tidak berpuasa di bulan Ramadhan.


3. DENDA DAN MERAMPAS HARTA BENDA

Nabi Muhammad pernah juga mengenakan hukuman dalam bentuk kewangan sebagai hukuman ta’zir. Namun begitu, di kalangan fuqaha’ terbahagi kepada tiga kumpulan berhubung dengan pendapat tentang kesahihan hukuman ini di sisi undang-undang. Kumpulan pertama mengatakan menghukum dengan cara mendenda atau merampas harta benda tidak sah di sisi undang-undang, kumpulan kedua pula menganggapnya sah, manakala kumpulan ketiga menganggapnya sah jika pesalah tidak bertaubat.


4. ANCAMAN

Ancaman merupakan satu bentuk hukuman ta’zir yang dapat mendorong pesalah mengubah tingkah lakunya kerana takut dihukum. Pesalah boleh diancam dengan hukuman sekiranya dia mengulangi kesalahan itu lagi ataupun dia boleh dijatuhkan hukuman tetapi perlaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehinggalah dia melakukan satu lagi kesalahan (dalam tempoh tertentu).

5. BUANG DAERAH ATAU BUANG NEGERI.

Hukuman buang daerah atau buang negeri ini terpaksa diadakan apabila seseorang itu melampaui tata susila, juga tindakan orang-orang yang melakukan jenayah itu sehingga menjadi tarikan orang lain kepadanya atau boleh memberi kemudharatan ataupun bahaya kepada masyarakat.

Para ulama berselisih pendapat mengenai masa tahanan. Syafi’e dan Hanbali berkata : tempoh lama hukuman membuang daerah ini adalah setahun genap, tidak boleh dikurangkan. Hukuman membuang daerah ini disyariatkan pada mulanya terhadap penzina bukan “muhsan” sebagai satu had pada pandangan mereka, masanya tidak kurang dari setahun, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Samat r.a :



قال رسول الله (ص) : خذوا عني، خذوا عني، فقد جعل الله لهن سبيلا، البكر بالبكر جلد مائة ونفي سنة، و الثيب بالثيب جلد مائة و الرجم


 Maksudnya : “Baginda s.a.w bersabda : hendaklah kamu ambil dari ku, hendaklah kamu ambil dari ku, maka sesungguhnya Allah telah mengadakan jalan keluar untuk mereka (perempuan-perempuan yang berzina), jika dara dengan teruna (melakukan zina) hendaklah disebat 100 kali serta dibuang daerah selama setahun, dan jika janda dengan duda hendaklah disebat 100 kali dan direjam dengan batu”.
                                                                                                        (Hadis riwayat Muslim.)

Manakala pendapat Abu Hanifah pula : hukuman buang daerah ini boleh dilakukan lebih dari setahun sebagai ta’zir, tempoh lama masanya itu terserah kepada pemerintah untuk menentukan


Pendapat Imam Malik pula : hukuman buang daerah itu boleh dilebihkan tempoh masanya dari setahun, serta dia menerima bahawa hukuman buang daerah itu adalah had, dan dia berpendapat hadis "منْ بلغ حدًّا فى غيرِ حدٍّ فهُوَ منَ المُعْتدِينَ” adalah sahih.



SYARAT SYARAT PELAKSANAAN TA’ZIR

a. Hukuman ta’zir hendaklah bertujuan menjaga kemaslahatan yang ditetapkan oleh Islam.

b. Hukuman dapat menolak keburukan atau mengurangkannya tanpa mendatangkan
kemudaratan kepada masyarakat dan tidak menghina kemuliaan manusia.

c. Hukumannya sesuai dengan jenayah yang dilakukan.

d. Persamaan dan adil antara manusia.

d. Dijalankan oleh pemerintah



CONTOH-CONTOH  KESALAHAN YANG DIKENAKAN TA’ZIR.

1. Lelaki berlagak seperti perempuan

Lelaki yang menyerupai perempuan atau perempuan yang menyerupai lelaki , jika mereka tidak melakukan perbuatan yang terkutuk dengan penyerupaan tersebut tetapi hanya sekadar menyerupai seorang perempuan atau menyerupai seorang lelaki sahaja , maka perbuatan mereka adalah dikira sebagai maksiat dan tidak ada hukuman hudud dan kaffarah keatasnya, tetapi dikenakan hukuman ta’zir mengikut tahap kesalahan dan juga berat mana dosa yang telah dilakukannya.

Lelaki berlagak seperti perempuan adalah dikira sebagai dosa besar. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.aw. , seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Abbas r.a : 


عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : لعن النبي صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال ، المترجلات من النساء   

Maksudnya : “Daripada Abdullah Ibnu Abbas r.a bahawa katanya : Telah melaknat Rasulullah s.a.w ke atas lelaki yang berlagak seperti perempuan dan perempuan yang berlagak seperti lelaki”
                                                                                                            (hadis Abdullah Ibnu Abbas r.a)                                                              

Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

عن أبي هريرة رضي الله عته قال : لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل يلبس لبسة المرأة ، 
والمرأة تلبس لبسة الرجل

Maksudnya : “Daripada Abi Hurairah r.a berkata :Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.”

Telah dibawa seorang lelaki yang berlagak seperti perempuan yang telah memakai inai di kedua-dua belah tangan dan dua kakinya di hadapan Rasulullah s.a.w, apabila baginda melihat lelaki tersebut lalu baginda bertanya : “Apa hal kamu berbuat begini? Mereka menjawab : dia menyerupai dengan kaum perempuan. Maka Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya lelaki yang berlagak seperti perempuan itu dibuang daerah yang bernama Al-Naqi’ (tempat yang jauh sedikit daripada Bandar al-Madinah al-Munawwarah)


Menurut Imam Syafi’e, lelaki yang menyerupai seorang perempuan boleh dibuang negeri, hukuman ia bukan kerana maksiat yang dilakukan tetapi adalah kemaslahatan kepada masyarakat agar budaya tersebut tidak berleluasa.


 2. Makan di siang hari pada bulan Ramadhan.

Orang yang makan pada bulan Ramadhan dalam keadaan sengaja, malas berpuasa serta mencemarkan kehormatan bulan Ramadhan yang mulia , maka hukumannya ia tidak dibunuh mengikut ijmak ulama sebaliknya ia dipenjarakan dengan tidak diberi makan dan minum pada waktu siang hari sepanjang sebulan di bulan Ramadhan, ini adalah kerana supaya ia mendapat pengajaran, dengan cara tersebut ia akan bertaubat dan benar-benar insaf serta dapat memahami hakikat sebenar kefardhuan ibadat puasa itu.



 3. Berjudi

Dalil Pengharaman Judi: Al-Quran al-Karim :


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ


Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”    
                                                                                                                     (surah al-Maidah :ayat 90)  

Menurut pandangan as-Syeikh Muhammad Ali as-Saayis, maksud “ al-Maisir ” ialah merangkumi semua jenis permainan judi.



PERBEZAAN HUKUMAN TAKZIR DAN HUDUD

1. Tentang kadar.

Hudud ialah satu hukuman yang ditentukan dan ditetapkan oleh syarak tentang jenis dan kadarnya dengan nas yang sorih. Pemerintah atau hakim tidak boleh mengeluarkan pendapat untuk menentukan jenis dan kadarnya, hukuman hudud ini dinamakan juga hukuman nasihat.

Ta’zir pula, ialah hukuman yang tidak ditentukan oleh syarak tentang jenis dan kadarnya, bahkan diserahkan perkara itu kepada pemerintah atau hakim untuk menetukan, oleh itu mereka boleh menjatuhkan hukuman keatas pesalah mengikut pendapatnya yang sesuai dengan kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah itu dan memadai untuk mencegah serta beroleh kebaikan kepada pesalah itu sendiri.


2. Kewajipan pelaksanaan.

Hudud dan qisas apabila tidak diberi kemaafan oleh keluarganya wajib dilaksanakan oleh pemerintah, oleh itu maka pemerintah tidak berhak untuk memberi keampunan, pelepasan dan juga tidak berhak untuk mengugurkan hudud dengan apa cara sekalipun.

Ta’zir pula, jumhur ulama berpendapat jika sekiranya ta’zir itu hak Allah mestilah pemerintah melaksanakannya, tetapi harus baginya memberi kemaafan, dan jika sekiranya ta’zir itu hak individu, individu itu berhak untuk memberi kemaafan ataupun tidak, manakala pemerintah tidak berhak untuk memberi kemaafan terhadap penjenayah itu. 


3. Memelihara suasana yang ringan.

Hukuman hudud dipandang dari jenis kesalahan dan tidak di ambil kira tentang peribadi pelaku jenayah, manakala ta’zir pula dipandang kepada perkara yang dilakukan dan peribadi orang yang melakukan kesalahan itu.

4. Hak Allah dan hak hamba.

Ta’zir adakalanya di tetapkan kerana memelihara hak Allah, contohnya seperti mempersendakan kesucian al-Quran dan agama Islam, adakalanya pula memelihara hak manusia seperti memaki hamun, memukul seseorang dan seumpamanya. Sedangkan hudud pula semuanya adalah hak Allah menurut semua mazhab.




BIDANG KUASA TA’ZIR

Hukuman ta’zir sama dengan hukuman hudud iaitu hukuman ini hendaklah dilakukan oleh pemerintah tidak ada seorang pun yang berhak melakukannya selain daripada pemerintah kecuali bapa, penghulu dan suami. Berikut ialah kuasa-kuasa yang boleh menjalankan ta’zir.

a. Bapa.

Bapa berhak menta’zirkan anak-anaknya yang masih kecil bagi memberi pengajaran berakhlak dengan akhlak yang mulia dan mencegah dari melakukan kejahatan, juga dengan menyuruh anak-anak menunaikan sembahyang serta memukul mereka apabila meninggalkannya. 

b. Penghulu.

Penghulu boleh menta’zirkan hambanya tentang hak dirinya dan hak Allah SWT. 

c. Suami.

Suami boleh menta’zir isterinya untuk memberi pengajaran tentang nusyuz dan meninggalkan kewajipan terhadap Allah SWT. Contohnya seperti meninggalkan sembahyang 5 waktu.


 KESIMPULAN

Sebagaimana yang telah disebutkan, hukuman-hukuman ta’zir sebenarnya tidak terbatas pada hukuman-hukuman yang telah disebutkan bahkan terdapat berbagai-bagai jenis hukuman ta’zir yang lain. Terpulang kepada pemerintah atau badan perundangan Negara intuk melakukan dan memilih apa sahaja hukuman yang sesuai bagi membanteras jenayah dan dapat membetulkan serta memberi pengajaran kepada pesalah dengan syarat hukuman tersebut diasaskan untuk kepentingan umum dalam konsep hukuman ini.

Perbezaan antara hudud dan takzir ialah hukuman bagi kesalahan hudud telah ditentukan oleh syarak dan tidak boleh diubah oleh sesiapa pun. Manakala hukuman bagi kesalahan takzir diserahkan kepada pemerintah untuk memutuskannya. Bagi pemerintah, tidak boleh memutuskan hukuman takzir berdasarkan hawa nafsu, tetapi perlu melihat kepada semua hal keadaan yang berkaitan dengan kesalahan tersebut, diri pesalah, kadar bahaya kesalahan itu terhadap kepentingan awam dan sebagainya. Yang penting hukuman itu dapat mencegah orang lain daripada meneruskan kesalahan itu.

Syariat Islam menentukan bahawa hukuman takzir itu semestinya untuk tujuan pencegahan atau ugutan, tetap mengambil berat tentang diri pesalah itu sendiri, dan tidak membiarkannya begitu sahaja, agar timbul dalam dirinya kesedaran agama sehingga dengan rela hati dia akan menjauhkan apa juga kesalahan. Bagi Islam kesedaran dari dalam diri ini dan juga kesedaaran beragama merupakan sebaik-baik cara untuk mencegah seseorang dari melakukan kesalahan. Oleh itu, menurut para fuqaha’, takzir disyariatkan untuk tujuan pembersihan dan pemulihan, iaitu dengan membetulkan diri pesalah dan membersihkan dirinya dari segala kekotoran jenayah sehingga dengan itu dia akan menjadi seorang yang bersih dan terselamat daripada dorongan jenayah dan termasuk dalam golongan orang-orang yang berguna kepada masyarakat


ANTARA CONTOH GAMBAR HUKUMAN BERBENTUK TA'ZIR.


                                            GAMBAR 1. HUKUMAN PENJARA.



                                GAMBAR 2 . HUKUMAN SEBAT.